Pegawai Perkhidmatan Awam Diwajibkan Ambil Vaksin Atau Tindakan Tatatertib Dikenakan

Sehingga kini, jumlah peratusan pegawai awam persekutuan yang mengambil vaksin telah mencapai 98 peratus, manakala kelompok mereka yang masih belum mendaftar untuk divaksin adalah kecil, iaitu hanya 1.6  peratus bersamaan 16,902 orang.

Jabatan Perkhidmatan Awam dalam siaran media hari ini telah mengeluarkan penyataan penetapan syarat vaksinasi lengkap kepada Pegawai Perkhidmatan Awam. Tindakan tatatertib boleh dikenakan jika Pegawai Perkhidmatan Awam tidak mematuhi syarat yang ditetapkan.

Ikuti perkongsian di bawah untuk maklumat lanjut penetapan syarat vaksinasi lengkap kepada Pegawai Perkhidmatan Awam.

TUJUAN KEWAJIPAN PENGAMBILAN VAKSIN

Jabatan Perkhidmatan Awam akan mewajibkan semua pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan untuk mengambil vaksin bagi:

  • Memberikan keyakinan dan jaminan kepada orang awam; serta
  • Memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.
  • Ini juga selari dengan usaha untuk mengembalikan perkhidmatan kerajaan pada tahap pengoperasian penuh berdasarkan fasa-fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

TEMPOH LENGKAPKAN VAKSINASI

Semua pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan dikehendaki untuk segera melengkapkan vaksinasi mereka sebelum:

  • 1 November 2021

Dalam tempoh ini pegawai yang belum divaksin hendaklah hadir secara walk-in ke pusat pemberian vaksin (PPV) yang telah disediakan oleh Kerajaan.

Bagi pegawai yang tidak boleh divaksin atas sebab kesihatan, pegawai hendaklah mengemukakan kepada Ketua Jabatan maklumat kesihatan yang telah disahkan oleh pegawai perubatan kerajaan.

TINDAKAN TATATERTIB DIKENAKAN JIKA TIDAK DIVAKSIN

Sekiranya pegawai awam masih belum mengambil vaksin selepas tempoh yang ditetapkan tanpa mendapatkan pengecualian daripada pegawai perubatan kerajaan maka pegawai tersebut boleh dikenakan tindakan tatatertib selaras dengan peraturan semasa yang berkuatkuasa.

Semua pegawai awam adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993].

Join Channel Telegram Portal Pendidikan Terbesar Di Malaysia Percuma