Kenapa Perlu Sambung Master?

Artikel ini adalah pandangan daripada seorang pelajar lepasan Master yang berkongsi pengalaman dan pendapat beliau di Facebook mengenai keperluan untuk menyambung pengajian ke peringkat master.

Luahan menarik ini sebenarnya sedikit sebanyak dapat membantu orang lain membuat keputusan berdasarkan realiti dan cabaran sebenar yang dihadapi.

Walaupun kisah di belakang tabir setiap individu mungkin berbeza, namun isi ceritanya boleh dijadikan panduan yang berguna bagi sesiapa yang berfikir untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Jom baca apa yang beliau kongsikan.

Kenapa Sambung Master?

Jawapan paling mudah adalah apabila ada keperluan. Jika pekerjaan atau kehidupan anda memerlukan anda menyambung pengajian ke peringkat master, maka sambunglah. Contohnya, jika anda dalam bidang pendidikan dan bercita-cita menjadi pensyarah atau mempunyai niat untuk menyambung pengajian hingga ke peringkat PhD, maka teruskanlah.

Banyak syarikat menawarkan peluang belajar. Terdapat banyak syarikat dan kilang yang memberi peluang kepada pekerja untuk menyambung pengajian ke peringkat master atau PhD untuk tujuan penyelidikan. Program sebegini memberikan faedah kepada kedua-dua pihak, iaitu syarikat dan universiti. Sebagai contoh, semasa saya menghadiri konvokesyen master di USM, terdapat senarai syarikat yang menaja pekerja mereka seperti Intel, Osram, B. Braun, TnB dan sebagainya.

Keperluan mesti datang dari diri sendiri. Ia bukan kerana desakan ibu bapa, supervisor, kawan, atau sesiapa pun. Ia mesti datang dari keinginan sendiri. Hanya dengan itu perjalanan akan lebih terkawal dan dapat dihadapi dengan baik.

BAca juga: Dr Ini Kongsi Tips & Panduan Nak Sambung Belajar Peringkat Master/ Ph.D

Jika tiada keperluan, sekadar ingin sambung kerana bosan, saya nasihatkan jangan. Pengajian master atau PhD merupakan perjalanan yang sunyi. Ada yang beranggapan bahawa pengajian master tidak mempunyai nilai, tetapi semua ilmu mempunyai nilai. Cara kita mengaplikasikan ilmu tersebut yang membezakan sama ada ilmu kita bernilai atau tidak. Walau bagaimanapun, tidak dinafikan persaingan dalam dunia kini semakin sengit. Kita perlu jelas dengan apa yang kita inginkan, terutama sekali dalam pengajian master. Pengajian master adalah satu langkah ke hadapan daripada ijazah, di mana tesis master memerlukan kita “meminjam” idea orang lain untuk menyokong tajuk tesis kita. Berbeza dengan PhD.

Jangan cakap sambung master atau PhD adalah satu kerugian. Ada yang berpendapat bahawa ia hanya akan menyebabkan kesukaran mencari kerja. Namun, kejayaan adalah berbeza bagi setiap individu. Bagi sesetengah orang, pendidikan adalah kejayaan. Namun, dalam dunia sekarang, kita perlu ada kedua-duanya, pendidikan dan pekerjaan.

Pengalaman peribadi dalam menyambung pengajian. Saya sendiri telah melakukannya. Saya menyambung pengajian master dan PDPP (DPLI) secara serentak sambil bekerja. Bukan kerana tamak, tetapi di bawah beberapa keadaan tertentu, saya perlu melakukannya. Ia adalah satu perjuangan yang sangat mencabar. PDPP di bawah KPM mempunyai jadual kelas yang sangat padat, setiap hari ada kelas, tugasan, tutorial, dan pembentangan. Cuti sekolah tidak bermakna kita bercuti. Kita sibuk dengan penulisan, kelas PDPP, kerja siang, kelas malam, selit masa buat tugasan atau menulis tesis.

Perjuangan yang sukar. Pernah tidak tidur langsung sepanjang hari. Tekanan darah meningkat. Sepanjang tahun bekerja dan belajar tanpa henti. Kita perlukan sokongan dari keluarga, kawan, dan pensyarah. Tiada masa untuk diri sendiri selama dua tahun. Orang di sekeliling perlu berkompromi dan mengikut jadual kita. Saya pernah menulis tesis semasa mengandung lapan bulan, dengan sakit pinggang yang amat, sambil baring dan mengiring. Loya dan muntah dahulu, sambung menulis kembali. Tulis tesis sampai sudah tidak kisah kena reject. Salah, buat lain. Do it over and over again sampai siap. Ada bab yang terpaksa disiapkan dalam masa dua hingga tiga hari. Setiap detik berharga. Kita akan sangat menghargai masa yang diberikan oleh Allah.

Baca juga: Berbaloi Ke Ambil Master Pendidikan? Ini Kelebihan Sambung Master Pendidikan

Usaha dan sokongan orang lain. Ketika saya hantar salinan akhir tesis, saya mengandung lapan bulan. Dapat keputusan lulus pada hari saya bersalin. Rezeki konvokesyen bersama bayi. Terima kasih kepada semua yang membantu di belakang tabir.

Akhir kata. Semoga berjaya kepada yang masih berjuang. Semoga ada sinar di sebalik mendung hari-hari yang anda tempuh. Berehatlah jika tiada kudrat, tetapi jangan mengalah ketika kemenangan hanya selangkah lagi.

Sumber

Pilihan Editor

Join Channel Telegram Portal Pendidikan Terbesar Di Malaysia Percuma