Kelebihan Graduan Bekerja Di Bahagian Khidmat Pelanggan Yang Ramai Tak Jangka
Jika anda perasan, peluang untuk bekerja dalam bahagian khidmat pelanggan ini luas dibuka di syarikat-syarikat besar. Graduan baru yang masih menganggur dan susah untuk dapat pekerjaan dalam bidang pengajian, anda boleh cuba memasuki kerjaya dalam khidmat pelanggan.
Banyak kelebihan dan kemahiran baru yang akan diperoleh daripada bekerja di bahagian khidmat pelanggan selain daripada gaji lumayan yang ditawarkan. Jangan pandang rendah ya dengan kerjaya ini!
Ikuti perkongsian di bawah untuk maklumat lanjut kelebihan graduan bekerja di bahagian khidmat pelanggan.
Isi Kandungan
TUGAS KHIDMAT PELANGGAN
Tugas pekerja di bahagian khidmat pelanggan sama ada di syarikat swasta atau kerajaan adalah seperti berikut:
- Bertanggungjawab dalam mengendalikan dengan cekap dan berkualiti semua panggilan telefon.
- Melayani pelanggan / tetamu yang berurusan dengan jabatan / syarikat secara tertib dan mesra.
- memberi penerangan mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat / jabatan/ agensi.
- Merekod dan memantau aduan sehingga selesai dan maklumkan kepada pelanggan / tetamu dari semasa ke semasa perkembangan di atas aduan pelanggan / tetamu.
KELEBIHAN BEKERJA DI BAHAGIAN KHIDMAT PELANGGAN
Tawaran Gaji Yang Lumayan
Kebanyakan mereka yang bekerja dibahagian ini seperti Customer Service Agent, Customer Service Representative, Customer Care Specialist serta pekerjaan yang berkaitan menawarkan gaji basic antara RM2000 hingga RM3000 untuk lepasan ijazah.
Besar juga ya basic gaji untuk kerjaya bahagian khidmat pelanggan ini. Basic gaji ini belum lagi termasuk pelbagai jenis elaun seperti elaun shift, elaun lebih masa, elaun pengangkutan, elaun kehadiran, elaun makan minum serta elaun-elaun yang berkaitan.
Peluang Menyertai Pelbagai Jenis Industri
Melalui kerjaya ini, anda berpeluang untuk menyertai pelbagai jenis industri yang ada seperti bank, hotel, pendidikan, penyiaran, ticketing & travelling, penyiaran, hospital dan sebagainya.
Ini kerana untuk memohon kerjaya dalam bidang ini syarat utama yang dikenakan adalah ijazah dalam apa jua bidang, fasih berbahasa Inggeris dan boleh mengira Matematik dengan baik.
Peluang Latihan
Sekiranya anda tidak mahir dan tidak arif tentang kerjaya ini, anda tidak perlu risau kerana anda akan diberikan latihan selama 2 minggu hingga 3 bulan untuk memahirkan anda dalam bidang ini.
Anda juga akan diberikan gaji semasa latihan walaupun sekadar gaji basic. Tetapi sangat berbaloi kerana tidak ada syarikat yang memberikan gaji walaupun sekadar basic ketika anda pergi kursus atau latihan sebelum masuk kerja.
Jadual Kerja Yang Fleksibel
Kebanyakan syarikat atau agensi membolehkan pegawai bahagian khidmat pelanggan untuk bekerja mengikut masa sendiri walaupun anda perlu bekerja secara shift.
Caranya adalah dengan menukar jadual yang ditetapkan secara suka sama suka dengan rakan setugas sekiranya anda mempunyai masalah untuk diselesaikan. Tetapi mestilah mendapat kelulusan daripada pihak atasan yang menguruskan jadual tersebut.
Perkembangan Kerjaya
Anda boleh menjadikan kerjaya ini sebagai satu nilai tambahan dalam perkembangan kerjaya dan menjadikan anda mahir dalam perkara-perkara yang tertentu.
Sekiranya anda telah bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan dan pelanggan mempunyai masalah berkaitan internet, sudah pasti anda tahu cara untuk selesaikan masalah ini kerana anda sudah tahu cara untuk selesaikannya.
Apabila anda mendapat pekerjaan yang lain seperti pegawai bank dan pelanggan anda mempunyai masalah berkaitan perbankan internet, dengan mudah masalah tersebut diselesaikan kerana ia berkaitan dengan kerjaya anda yang terdahulu. Maka inilah nilai tambahan terutama dari segi kemahiran untuk kerjaya anda yang seterusnya.
Multi-Tasking
Jika anda sudah lama dalam bidang ini sudah pasti anda akan menjadi seorang pekerja yang mempunyai kemahiran Multi-Tasking dan boleh membuat beberapa kerja dalam satu masa.
Biasanya untuk mempunyai kemahiran seperti ini, anda hanya memerlukan masa sekurangnya 6 bulan hingga 1 tahun dalam bidang ini.
Kebanyakan pegawai khidmat pelanggan boleh menulis, menaip sambil bercakap telefon serta bercakap secara berhadapan dengan pelanggan.
Hebat bukan kerjaya dalam bidang khidmat pelanggan ini? Tak kenal maka tak cinta. Jika anda berminat, anda boleh memohon pekerjaan ini dan teruskan bekerja untuk dapatkan pengalaman yang lebih luas sebelum anda berjaya mendapatkan kerja yang anda inginkan.