Kelebihan & Kelemahan Program Matrikulasi Yang Perlu Anda Tahu

Permohonan kemasukan ke Matrikulasi bagi tahun 2023 kini telah dibuka kepada lepasan SPM yang berminat. Anda boleh buat permohonan dengan panduan yang disediakan sehingga 15 April 2021 iaitu permohonan dibuka selama sebulan. Rujuk Panduan Permohonan Program Matrikulasi Sesi 2023/2024.

Anda berminat nak masuk matrikulasi atau ragu-ragu nak buat pilihan antara Matrikulasi, Asasi dan Diploma?

Mungkin selepas anda tahu kelebihan dan kelemahan melanjutkan pengajian ke program Matrikulasi ini anda akan mendapat gambaran lebih luas dan dapat buat keputusan dengan tepat!

SYARAT KELAYAKAN

Syarat kelayakan untuk masuk ke Matrikulasi tidaklah terlalu tinggi, namun saingan yang tinggi menyebabkan pelajar terpaksa merebut tempat kemasukan walaupun memperolehi keputusan yang cemerlang. Semak syarat kelayakan kemasukan ke Matrikulasi di sini:

KELEBIHAN PROGRAM MATRIKULASI

Tajaan Penuh KPM

Antara salah satu sebab utama Matrikulasi menjadi pilihan ramai adalah kerana program ini merupakan tajaan penuh Kementerian Pendidikan Malaysia. Pembiayaan yuran dan sara hidup pelajar adalah ditanggung sepenuhnya di bawah KPM. Pelajar tidak perlu membayar yuran pengajian dan menerima elaun bulanan untuk sara hidup.

Penekanan Kurikulum Yang Seimbang

Kurikulum program ini memberi penekanan yang seimbang terhadap aspek akademik, kokurikulum dan sahsiah. Pelajar bukan sahaja didedahkan dengan ilmu akademik, malah akan dilatih dari segi kemahiran sahsiah untuk persediaan ke alam pekerjaan.

Kursus dan peperiksaan pula kebiasaannya sebanyak 40% kerja kursus dan 60% peperiksaan. Walau bagaimanapun, ianya bergantung kepada kursus.

Laluan Pintas Ke Degree

Pernah dengar tak orang cakap Matrikulasi merupakan laluan pintas ke pengajian ijazah pertama atau degree? Betul lah tu! Ini adalah kelebihan Matrikulasi yang tidak dapat ditanding oleh program diploma. Matrikulasi hanya mengambil masa 1 tahun (2 semester) atau 2 tahun (4 semester) sahaja untuk tamat.

Setelah tamat pengajian di matrikulasi, pelajar boleh terus sambung pengajian ke Ijazah Sarjana Muda (Degree) di mana-mana universiti yang pelajar mahu. Lebih jimat satu tahun berbanding program Diploma.

Boleh Digunakan Untuk Mohon Pekerjaan Sektor Awam

Sebelum ini ramai yang menyatakan Sijil Matrikulasi ini tidak laku untuk memohon pekerjaan. Memang betul, namun bermula tahun 2016, Sijil Matrikulasi kini boleh digunakan untuk memohon pekerjaan dalam sektor awam di bawah gred N29.

Ini bermaksud sekiranya anda tidak berniat nak sambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, anda boleh terus bekerja dengan menggunakan Sijil Matrikulasi.

Diterima Universiti Luar Negara

Kenyataan ini mungkin ramai yang tidak tahu. Sijil Matrikulasi sebenarnya diterima oleh universiti luar negara bagi pengajian degree terutamanya di negara-negara Komanwel dan UK. Menarik kan! Namun pelajar mestilah lulus pengajian dengan keputusan yang cemerlang.

KELEMAHAN PROGRAM MATRIKULASI

Jangan Sesekali Gagal

Kelemahan Matrikulasi ini tak banyak pun iaitu pelajar TIDAK BOLEH GAGAL. Jika gagal, pelajar tiada pilihan lain selain menggunakan semula kelayakan SPM untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sijil atau diploma. Ini bermaksud Sijil Matrikulasi pelajar yang gagal adalah tidak berguna.

Namun untuk makluman anda, pelajar diberi peluang untuk ulang pengajian sekiranya gagal memperoleh keputusan yang cemerlang.

Tidak susah pun sebenarnya nak lulus di peringkat Sijil Matrikulasi ini sekiranya anda betul-betul belajar. Keputusan adalah berdasarkan usaha masing-masing. Anda kena ingat, tempoh pengajian di Matrikulasi ini adalah singkat, jadi proses pembelajaran juga laju. Jadi pelajar dinasihatkan untuk tidak main-main jika masuk ke Matrikulasi.

Semoga bermanfaat!

Join Channel Telegram Portal Pendidikan Terbesar Di Malaysia Percuma