Kaedah Bayaran Saman Baharu Bermula 1 Januari 2026 – Bayar Awal, Jimat Lebih!

Berita penting buat semua pemilik kenderaan! Mulai 1 Januari 2026, kerajaan memperkenalkan kaedah bayaran saman baharu yang menawarkan kadar kompaun lebih rendah sekiranya bayaran dibuat lebih awal.
Inisiatif ini diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, bagi menggalakkan orang ramai menyelesaikan saman tepat pada masanya dan mengurangkan tunggakan kes tertunggak.
Sistem baharu ini diperkenalkan selaras dengan pendekatan Malaysia Madani, yang menekankan prinsip tanggungjawab sosial dan kecekapan pentadbiran. Melalui kaedah ini, rakyat diberi peluang menjimatkan perbelanjaan dan mengelakkan tindakan undang-undang sekiranya saman dilangsaikan dalam tempoh ditetapkan.
Selain memberi manfaat kepada pengguna, sistem ini juga membantu pihak berkuasa menguruskan kutipan saman dengan lebih sistematik serta mengurangkan kes pemandu disenarai hitam. Ia juga diharapkan dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan mematuhi undang-undang jalan raya.
Kadar Diskaun Baharu Bayaran Saman
Mulai 1 Januari 2026, kadar bayaran saman akan ditentukan berdasarkan tempoh masa pembayaran seperti berikut:
- 1–15 hari: Diskaun 50%
- 16–30 hari: Diskaun 33%
- 31–60 hari: Bayaran pada kadar maksimum
- Lebih 61 hari: Pemilik kenderaan akan dikenakan tindakan mahkamah dan disenarai hitam
Inisiatif diskaun ini bagaimanapun tidak terpakai bagi kesalahan tidak boleh dikompaun (non-compoundable) seperti:
- Tiada insurans
- Tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM)
- Memaparkan LKM palsu
Artikel Berkaitan: Cara Buat Pengesahan MyKad Budi Madani RON95 Jika Terminal Pam Tidak Berfungsi
Tempoh Peralihan Sebelum Sistem Baharu
Bagi memberi masa kepada orang ramai menyesuaikan diri, tempoh peralihan akan dilaksanakan dari 1 November hingga 30 Disember 2025.
Dalam tempoh ini, pengguna boleh menjelaskan saman sedia ada daripada JPJ dan PDRM dengan kadar pengurangan istimewa antara 50% hingga 70%, bergantung kepada jenis kesalahan.
Selepas tempoh ini berakhir, tiada lagi tawaran diskaun khas akan diberikan bagi saman yang tidak dijelaskan. Pembayaran boleh dibuat secara dalam talian melalui aplikasi MyJPJ dan MyBayar PDRM untuk kemudahan pengguna.
Penutup
Pendekatan baharu bayaran saman ini jelas menunjukkan komitmen kerajaan dalam membentuk masyarakat yang lebih bertanggungjawab dan mematuhi undang-undang jalan raya.
Dengan prinsip “The less you delay, the less you pay”, rakyat kini diberi ganjaran untuk bertindak segera dan lebih berdisiplin dalam urusan pembayaran saman.
Justeru, pastikan anda sentiasa peka terhadap notis saman yang diterima, buat bayaran awal, dan elakkan tindakan undang-undang.
Sama-sama kita menuju ke arah pemanduan yang lebih selamat, beretika dan Madani.
