Hukum & Kadar Fidyah Bagi Umat Islam Yang Meninggalkan Puasa Dengan Sengaja
Puasa di bulan Ramadan merupakan ibadah yang wajib dilaksanakan setiap umat Islam. Meninggalkan puasa Ramadan secara sengaja dan tanpa uzur syar’i termasuk dosa besar. Dalam Al-Kabair, Al-Hafiz Abi Abdillah Muhammad bin Ahmad bin Utsman bin Qaimaz Adz-Dzahabi juga mengkategorikan perkara ini sebagai salah satu dari 70 dosa besar.
Demikian pula Muslim yang dengan sengaja membatalkan puasa tanpa uzur syar’i juga wajib menggantikan puasanya dan membayar fidyah. Dia juga berdosa kerana telah melalaikan kewajipannya sebagai umat Islam yang mampu melaksanakan puasa.
Berapa kadar bayaran fidyah bagi umat Islam yang meninggalkan puasa dengan sengaja? Baca penjelasannya di perkongsian bawah.
Baca juga: Fidyah Perlu di Bayar, Puasa Tetap Perlu Diganti. Anda Tentu Dah Tahu Kan?
Isi Kandungan
KADAR FIDYAH JIKA TINGGALKAN PUASA DENGAN SENGAJA
Soalan:
Assalamualaikum w.b.t.
Berapa banyakkah kadar fidyah yang perlu dibayar sekiranya saya dan adik beradik (4 orang) pernah meninggalkan puasa dahulu secara sengaja. Kami tidak tahu berapa hari puasa yang ditinggalkan. Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Kewajipan Berpuasa
Puasa di dalam bulan Ramadhan adalah salah satu daripada rukun Islam yang difardhukan ke atas setiap umat Islam. Hal ini jelas seperti mana yang disebutkan di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar R.A, bahawa Nabi SAW bersabda :
بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَإِقَامِ الصَّلاَةِ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ، وَالْحَجِّ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ
Maksudnya : “Terbinanya Islam itu atas lima perkara; Syahadah bahawasanya tiada tuhan (yang sebenarnya disembah) melainkan Allah dan Muhammad itu adalah pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji dan puasa di bulan Ramadan”. [HR al-Bukhari (8) dan Muslim (16)]
Meninggalkan puasa dengan sengaja, tanpa sebarang keuzuran adalah berdosa besar. Ibnu Hajar al-Haithami menyenaraikan di dalam kitabnya, mereka yang berbuka puasa dengan berjima’ atau selainnya tanpa sebarang keuzuran seperti sakit atau musafir termasuk dalam orang yang telah melakukan dosa-dosa besar. [Lihat : al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kabair (1/323)]
Namun begitu, Islam masih memberikan peluang kepada umatnya yang telah terlanjur meninggalkan puasa dengan sengaja dan mempunyai kesedaran untuk bertaubat kepada Allah SWT dengan syarat menyesal akan perbuatan tersebut, meninggalkannya dan berazam tidak akan kembali melakukannya semula.
Puasa yang ditinggal, wajib digantikannya
sesiapa yang meninggalkan puasa dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran, dia telah berdosa dan wajib mengqadha’nya (menggantikannya) sebagaimana sabda Nabi SAW :
منِ استقاءَ فعليهِ القضاءُ
Maksudnya : “Sesiapa yang sengaja muntah, hendaklah mengqadha’nya” [HR Ibnu Majah]
Hal ini kerana mereka yang meninggalkan puasa dengan keuzuran seperti sakit dan musafir pun diwajibkan ke atas mereka menggantikannya semula, maka lebih-lebih lagi lah (min bab al-Aula) bagi mereka yang sengaja berbuka puasa tanpa sebarang keuzuran. Begitu juga, mereka perlu menahan diri daripada makan dan minum (selepas berbuka dengan sengaja) sehinggalah waktu berbuka serta wajib mengqadha’nya sebelum tiba bulan Ramadhan yang berikutnya. [Lihat : al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie (2/200)]
Fidyah perlu dibayar
Jika cuai dan tidak mengqadha’nya sehinggalah tiba bulan Ramadhan yang berikutnya, dia berdosa dan wajib membayar fidyah, iaitu memberi makan golongan fakir sehari secupak makanan kebiasaan penduduk negeri setempat dan hendaklah menggandakan fidyah tersebut mengikut bilangan tahun yang dilangkaunya.
Hal ini adalah berdasarkan kepada athar daripada Ibnu Abbas, Ibnu Umar dan Abu Hurairah R.A bahawasanya mereka telah berkata :
فيمَنْ عليهِ صومٌ فَلم يَصُمْهُ حتّى أدركهُ رمضانُ آخَرُ، يُطعِمُ عنِ الأوَّلِ
Maksudnya : “Sesiapa yang ada puasa ganti, tetapi dia tidak menggantikannya lagi sehinggalah tiba bulan Ramadhan yang berikutnya, hendaklah dia beri makan (fidyah) bagi yang awal (Ramadhan yang lepas)”[Dr. Muhammad al-Zuhaili menyatakan bahawa athar-athar ini telah diriwayatkan oleh al-Darqutni dengan sanad yang sahih]
Secupak bersamaan seraup atau (1 1/3) kati Baghdad, iaitu kira-kira 600 gram. Orang yang sakit berterusan hingga masuk bulan Ramadhan yang lain, dia wajib mengqadha’ puasanya sahaja tanpa membayar fidyah. Orang yang meninggal dunia sebelum mampu mengqadha’ puasanya tidak berdosa dan puasanya tidak perlu diganti disebabkan bukan kecuaiannya. Sementara orang yang meninggal dunia sebelum mengqadha’ puasanya, sedangkan dia mampu melakukannya, walinya sunat berpuasa bagi pihaknya, menggantikan puasanya yang tertinggal. Maksud wali dalam perkara ini ialah saudara-mara si mati.
KIRAAN FIDYAH SEMASA MENGIKUT MAIWP
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan telah menetapkan bahawa kadar bayaran fidyah bagi satu hari puasa yang ditinggalkan ialah satu cupak beras yang boleh dibuat zakat fitrah (1/4 gantang Baghdad).
Dalam bentuk nilaian matawang adalah berdasarkan kepada kadar yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sehingga tahun 2019, secupak beras bersamaan dengan 600 gram dinilai dengan kadar RM 4.00.
Formula kiraan :
(Hari yang ditinggalkan) X (Tahun gandaan) X (1 Cupak) = FIDYAH
Contoh :
Jika seseorang meninggalkan puasa selama 3 hari dan tidak menggantikan puasanya sehingga 3 kali bulan Ramadhan, maka kadar fidyahnya ialah :
RM 4.00 (1 cupak) X 3 hari X 3 tahun = RM 36.00.
PROSEDUR MEMBAYAR FIDYAH DI MAIWP
Cara perkiraan dan jumlah bayaran fidyah juga boleh dibuat di Unit Sumber Am Bahagian Baitulmal manakala bayaran boleh dibuat secara tunai atau melalui cek/pos berdaftar atas nama MAJLIS AGAMA ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN
Kadar bayaran fidyah berubah mengikut harga yang ditetapkan oleh pemerintah di sesuatu tempat manakala pengiraan kadar fidyah berdasarkan kadar harga beras (makanan asasi penduduk).
Baca: Panduan Membuat Kiraan & Bayaran Fidyah
KESIMPULAN
Berdasarkan kepada persoalan di atas, setelah diteliti pandangan para ulama mazhab Syafie, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara :
- Sesiapa yang telah meninggalkan puasa wajib dengan sengaja ataupun tidak sengaja hendaklah mengqadha’nya (menggantikannya) semula mengikut bilangan hari yang telah ditinggalkan, sebelum tiba bulan Ramadhan yang berikutnya.
- Sekiranya dia tidak mengqadha’nya sehinggalah tiba bulan Ramadhan yang berikutnya wajib membayar fidyah, iaitu memberi makan golongan fakir sehari secupak makanan kebiasaan penduduk negeri setempat dan hendaklah menggandakan fidyah tersebut mengikut bilangan tahun yang telah dilangkaunya.
- Sekiranya dia tidak pasti atau tidak ingat bilangan hari yang telah ditinggalkan, buatlah anggaran bilangan hari yang telah ditinggalkan mengikut sangkaannya (kecenderungan) yang paling kuat dan Ahwat (lebih berhati-hati). Misalnya : Dia tidak tahu berapa hari dia telah tinggalkan puasa, tapi dia rasa tidak lebih dua minggu. Jadi gantilah sebanyak dua minggu kerana itu yang diyakini (pasti) dan lebih berhati-hati. Begitulah juga halnya dengan fidyah bagi bulan-bulan Ramadhan yang telah dilangkau.
- Boleh juga membuat kiraan asas dengan menggunakan kalkulator fidyah di (https://www.maiwp.gov.my/i/index.php/en/kira-fidyah).
Kami juga menasihatkan agar perbanyakkan berdoa dan jangan pernah berputus asa daripada memohon keampunan kepada Allah SWT. Mudah-mudahan, Allah SWT menerima taubat kita dan seterusnya menjadikan kita Muslim yang lebih baik lagi.