Boleh Ke Majikan Tolak Cuti Tahunan Atau Beri Cuti Tanpa Gaji Pekerja Yang Kena Kuarantin? Baca Penjelasan Ini

Ramai juga ya sebenarnya pekerja di Malaysia yang dipaksa untuk ambil Annual Leave (AL) atau cuti tahunan apabila mendapat arahan untuk kuarantin. Ada juga majikan yang sanggup beri cuti tanpa gaji kepada pekerja! Sebenarnya tindakan majikan membuat potongan cuti tahunan atau beri cuti tanpa gaji kepada pekerja yang dikenakan perintah kuarantin adalah salah ya!

Pastikan anda ambil tahu hak anda sebagai pekerja bagi mengelakkan anda ditipu berterusan oleh majikan. Pekerja yang didapati dianiaya majikan yang tidak mengikut peraturan adalah berhak untuk membuat aduan.

Ikuti perkongsian di bawah untuk maklumat lanjut berkenaan hak pekerja ketika mendapat perintah kuarantin akibat Covid-19.

PEKERJA YANG DISYAKI POSITIF COVID-19/ MENUNJUKKAN SIMPTOM

Sekiranya ada pekerja yang menunjukkan simptom Covid-19, disyaki positif atau telah diuji positif dengan Covid-19, tindakan yang boleh diambil oleh majikan adalah:

  • Majikan boleh meminta pekerja segera mendapatkan pemeriksaan perubatan termasuk ujian COVID-19 daripada pengamal perubatan berdaftar atau pegawai perubatan atas biaya majikan, seperti yang dinyatakan di bawah seksyen 60F Akta Kerja 1955.
  • Majikan harus mengarahkan semua pekerja yang bekerja rapat dengan pekerja tersebut tinggal di rumah selama tempoh 7 hari untuk memastikan jangkitan tidak tersebar.

BOLEH KE MAJIKAN BERI CUTI TANPA GAJI ATAU TOLAK CUTI TAHUNAN JIKA PEKERJA PERLU KUARANTIN?

Boleh ke syarikat berikan cuti tanpa gaji kepada pekerja sekiranya syarikat terjejas akibat Covid-19 atau pekerja perlu dikuarantin?

  • Majikan tidak boleh memberikan cuti tanpa gaji kepada pekerja, melainkan dipersetujui oleh pekerja.
  • Pekerja yang diarah bercuti atas sebab kuarantin COVID19 perlu dibayar gaji semasa bercuti.
  • Dalam keadaan biasa, majikan tidak boleh mengarahkan pekerja bercuti tanpa gaji tanpa sebab atau tidak dibayar gaji. Majikan boleh mengarahkan pekerja untuk tidak hadir bekerja untuk suatu tempoh tetapi tanpa dipotong gaji. Pekerja berkenaan boleh membuat aduan di Pejabat Tenaga Kerja yang terdekat dengan membawa bukti bagi menyokong aduan.

Boleh ke majikan paksa pekerja untuk ambil cuti tahunan sepanjang tempoh self quarantine?

  • Majikan hanya boleh meminta pekerja untuk melakukan pemeriksaan kesihatan. Sekiranya diberikan perintah kuarantin, boleh ditolak dari kelayakan cuti sakit/hospitalisasi pekerja.
  • Jika tiada perintah kuarantin, dan diminta untuk self quarantine, majikan tidak boleh memaksa pekerja mengambil cuti tahunan, kerana cuti tahunan hendaklah atas kehendak dan permohonan pekerja sendiri.
  • Cuti tahunan merupakan hak pekerja dan haruslah diberikan pada tarikh yang dipohon oleh pekerja
  • Melainkan situasi di mana pekerja diberi arahan kuarantin oleh pihak pengamal perubatan (doktor/hospital), majikan tidak dibenarkan memaksa pekerja untuk mengambil cuti tahunan.

Boleh ke majikan membuat potongan gaji sekiranya cuti kuarantin melebihi kelayakan cuti sakit/ hospitalisasi pekerja?

  • Sekiranya pekerja mempunyai kelayakan cuti sakit / hospitalisasi, maka majikan boleh menggunakan cuti tersebut bagi isu kuarantin setelah mendapat sijil kuarantin daripada pakar perubatan berdaftar. Jika cuti tersebut telah digunakan sepenuhnya, maka tiada kewajipan majikan untuk membayar gaji pekerja.

ADUAN SEKIRANYA MAJIKAN POTONG GAJI ATAU TOLAK CUTI TAHUNAN DALAM TEMPOH KUARANTIN

Pekerja yang didapati dianiaya oleh majikan yang tidak mengikuti akta yang dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Manusia boleh membuat aduan di:

  • Pejabat Tenaga Kerja yang terdekat dengan membawa bukti bagi menyokong aduan.

Untuk maklumat lanjut atau lebih terperinci berkenaan isu-isu Covid-19 di tempat kerja, anda boleh rujuk soalan-soalan lazim yang dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Manusia di bawah:

Join Channel Telegram Portal Pendidikan Terbesar Di Malaysia Percuma