Siapa Di Kalangan Saudara Yang Boleh Disalam Dan Tidak Boleh Disalam? Baca Penjelasan Ini

Lagi beberapa hari kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Namun raya tahun ini agak berbeza dari tahun-tahun sebelum ini kerana kerajaan telah mengumumkan larangan rentas daerah dan negeri dalam tempoh yang ditetapkan. Orang ramai juga dikatakan tidak dibenarkan melakukan aktiviti ziarah menziahi semasa Hari Raya nanti.

Memandangkan pada hari raya, kita sudah mengamalkan kebiasaan bersalam-salaman dengan kaum kerabat dan sanak saudara, jadi kita wajib tahu hukum bersalaman dengan sanak-saudara yang berlainan jantina dan saudara mana yang boleh disalam dan tidak boleh.

Di perkongsian bawah, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah memberi penjelasan berkenaan golongan mahram dan bukan mahram dalam kalangan ahli keluarga.

MAKSUD PERKATAAN MAHRAM

Terdapat beberapa pengertian bagi perkataan mahram, ringkasannya adalah seperti berikut:

  • Individu yang diharamkan untuk seseorang berkahwin dengannya sama ada disebabkan hubungan rahim atau kerabat

Implikasi mahram ini ada beberapa perkara iaitu:

  • Haram berkahwin dengannya
  • Boleh bersalaman dengannya
  • Boleh bersendirian bersamanya

Implikasi bagi ketiadaan mahram (bukan mahram) ini pula adalah seperti berikut:

  • Tidak boleh bersalaman dengannya
  • Boleh berkahwin dengannya
  • Tidak boleh berkhalwat dengannya
  • Wajib menutup aurat daripadanya

Dalam kitab Al-Feqh al-Manhaji (2/21) ada disebutkan berkenaan dengan sebab-sebab pengharaman yang selamanya, iaitu:

  • Kerabat (hubungan kekeluargaan)
  • Musaharah (perkahwinan)
  • Susuan

MAHRAM BAGI LELAKI (BOLEH DISALAM)

Berdasarkan noktah di atas, kami kongsikan beberapa mahram bagi seorang lelaki yang dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu mahram dari sudut kerabat, musaharah, dan juga susuan.

Pertama: Mahram Dari Sudut Kerabat

  • Ibu kandung.
  • Nenek (ibu kepada ibu).
  • Nenek (ibu kepada bapa).
  • Anak perempuan.
  • Cucu perempuan (dari anak lelaki).
  • Cucu perempuan (dari anak perempuan).
  • Adik beradik perempuan seibu sebapa.
  • Adik beradik perempuan seibu.
  • Adik beradik perempuan sebapa.
  • Anak perempuan kepada adik beradik lelaki kandung (seibu sebapa).
  • Anak perempuan kepada adik beradik lelaki dari sebelah ayah atau ibu.
  • Iaitu anak-anak saudara perempuan @ anak perempuan kepada adik beradik lelaki atau perempuan kita.

Kedua: Mahram Dari Sudut Musaharah

  • Isteri kepada bapa (ibu tiri). Begitu juga isteri kepada datuk dari sebelah bapa atau ibu.
  • Isteri kepada anak lelaki (menantu perempuan). Begitu juga isteri kepada cucu lelaki dan ke bawah.
  • Ibu kepada isteri (ibu mertua).

Ini berdasarkan firman Allah S.W.T:

وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ

Maksudnya: Dan ibu kepada isteri-isteri kamu.

  • Anak perempuan kepada isteri (anak tiri bagi isteri yang telah disetubuhi).

Ketiga: Mahram Disebabkan Susuan

  • Ibu susuan.
  • Adik beradik perempuan susuan.
  • Anak perempuan kepada adik beradik lelaki sesusuan.
  • Anak perempuan kepada adik beradik perempuan sesusuan.
  • Anak susuan perempuan.
  • Adik beradik susuan perempuan kepada ibu atau ayah. Iaitu ibu-ibu saudara susuan.

MAHRAM BAGI PEREMPUAN (BOLEH DISALAM)

Manakala mahram bagi orang perempuan pula adalah seperti berikut:

  • Bapa kandung dan ke atas seperti datuk dan moyang.
  • Anak lelaki dan ke bawah seperti cucu dan cicit.
  • Adik beradik lelaki.
  • Bapa saudara dari sebelah ibu dan ke atas seperti datuk saudara.
  • Bapa saudara dari sebelah bapa dan ke atas seperti datuk saudara
  • Anak-anak saudara lelaki iaitu anak lelaki kepada adik beradik lelaki atau adik beradik perempuan dan ke bawah seperti cucu-cucu saudara lelaki.
  • Bapa susuan.
  • Adik beradik susuan yang lelaki.
  • Bapa mertua.
  • Menantu lelaki (suami kepada anak perempuan).

BUKAN MAHRAM (TIDAK BOLEH BERSALAMAN)

Berikut pula kamu senaraikan beberapa individu yang bukan mahram bagi seorang lelaki:

  • Isteri kepada bapa saudara.
  • Sepupu perempuan.
  • Kakak ipar (isteri kepada abang kandung).
  • Adik ipar (perempuan).
  • Anak angkat perempuan yang bukan anak susuan.

Manakala bagi seorang perempuan pula, yang bukan mahram mereka adalah seperti berikut:

  • Suami kepada ibu saudara.
  • Sepupu lelaki.
  • Abang ipar (suami kepada kakak kandung).
  • Adik ipar (lelaki).
  • Anak angkat lelaki yang bukan anak susuan.

KESIMPULAN

Sebagai penutup, kami berpesan kepada semua agar kita dapat menyambut hari raya Aidil Fitri dengan penuh ketaatan dan ketakwaan kepada Allah S.W.T dalam erti kata kita menjauhkan diri dari perkara-perkara yang Allah haramkan dan juga mengerjakan segala perintah Allah dalam kehidupan.

Perlu kami tekankan bahawa:

  • tidak bersalaman dengan bukan mahram dari kalangan sanak saudara bukanlah bermakna tidak ada keharmonian dan kerenggangan hubungan sesama keluarga.

Bahkan keharmonian itu terbina dengan saling membantu, beramah mesra dan bertanya khabar di dalam musim-musim perayaan, bertukar juadah, di samping menjaga batas-batas yang telah ditetapkan oleh syarak.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama menerusi pencerahan ini. Ameen.

Sumber

Join Channel Telegram Portal Pendidikan Terbesar Di Malaysia Percuma