Soalan Lazim Lengkap Program Pengekalan Pekerja (ERP) Yang Perlu Anda Ambil Tahu

Dalam usaha kerajaan membantu rakyat, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Selangor menyediakan bantuan kewangan sementara RM600 sebulan kepada pencarum yang terjejas susulan penularan Covid-19.

Bantuan itu bagi membantu majikan yang terjejas akibat Covid-19 kerana terpaksa mengambil langkah mengurangkan kos operasi dengan mengeluarkan notis cuti tanpa gaji kepada pekerja mereka.

Seperti yang dimaklumkan oleh Perdana Menteri, bantuan ini akan disalurkan melalui majikan dan majikan akan berikan kepada pekerja secara bulanan.

Jika anda masih mempunyai persoalan mengenai bantuan ini, ikuti perkongsian di bawah bagi menjawab semua persoalan anda.

SOALAN LAZIM PROGRAM PENGEKALAN PEKERJA (ERP)

1. Apakah objektif pelaksanaan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) dan bila tarikh dikuatkuasakan?

Program ini bertujuan untuk membantu majikan yang terjejas akibat Covid-19 yang terpaksa mengambil langkah mengurangkan kos operasi dengan pendekatan mengeluarkan notis cuti tanpa gaji (CTG).

Tarikh kuatkuasa Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) adalah mulai 1 Mac 2020 sehingga satu tarikh yang akan ditetapkan oleh PERKESO.

2. Apakah yang dimaksudkan Program Pengekalan Pekerjaan atau ERP?

Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) ialah bantuan segera (immediate assistance) sebanyak RM600 sebulan kepada majikan bagi setiap pekerja yang diminta bercuti tanpa gaji akibat penularan Covid-19.

3. Apakah syarat kelayakan menerima ERP?

  • ERP meliputi semua pekerja sektor swasta yang telah berdaftar dan mencarum dengan SIP termasuk pekerja sambilan yang telah mencarum dengan SIP.
  • Terhad kepada pekerja yang bergaji bulanan RM4,000 dan ke bawah sahaja.
  • Majikan yang melaksanakan CTG (notis yang telah dikeluarkan kepada pekerja bagi tempoh mulai 1 Mac 2020).

4. Siapakah yang perlu mengemukakan permohonan?

Semua permohonan perlu dikemukakan oleh majikan bagi pihak
pekerja mereka.

5. Bagaimanakah cara memohon ERP?

Majikan yang telah memenuhi syarat di perenggan 3, boleh menghantar permohonan secara dalam talian yang akan dimaklumkan kemudian melalui Pekeliling Majikan yang dikeluarkan oleh PERKESO.

Semua permohonan ERP daripada majikan hanya boleh dikemukakan mulai 20 Mac 2020.

6. Bagaimanakah cara majikan menyalurkan bayaran bulanan RM600 kepada pekerja?

Pembayaran bulanan RM600 kepada pekerja tersebut hendaklah dikreditkan terus ke dalam akaun mereka dalam tempoh 7 hari sebaik sahaja bayaran diterima daripada PERKESO.

Majikan yang gagal untuk menyalurkan bayaran bulanan tersebut kepada pekerja boleh menyebabkan permohonan berikutnya digantung dan tindakan undang-undang akan dikenakan ke atas majikan.

7. Berapa lamakah tempoh layak menerima bantuan ERP?

ERP yang akan diberikan adalah antara 1 hingga 6 bulan berdasarkan tempoh notis CTG daripada majikan.

8. Adakah kadar bayaran dan tempoh layak ERP dibayar pada kadar harian?

Tidak layak. Kadar bayaran bantuan kewangan adalah pada kadar tetap sebanyak RM600 sebulan. Tujuan bantuan ini adalah untuk menggantikan pendapatan bulanan yang tidak diterima (unpaid leave) akibat Covid-19 yang memberi kesan kepada industri terutamanya sektor pelancongan

9. Siapakah yang tidak layak memohon ERP?

  • Pekerja yang tidak berdaftar dan mencarum dengan SIP
  • Pekerja yang bergaji bulanan melebihi RM4,000
  • Pekerja yang telah diberhentikan kerja
  • Pekerja sektor awam
  • Mereka yang bekerja sendiri (tidak mempunyai majikan) termasuk freelancers
  • Pekerja asing dan pegawai dagang

10. Bagi mana-mana pekerja yang masih tidak dipanggil bekerja semula atau telah diberhentikan, adakah pekerja tersebut masih layak memohon Faedah-Faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP)?

Bagi pekerja yang masih tidak dipanggil bekerja semula selepas notis CTG tamat, pekerja tersebut hendaklah menganggap beliau telah kehilangan pekerjaan dan layak menuntut Faedah SIP.

11. Bagi mana-mana pekerja yang telah diberhentikan, adakah pekerja tersebut masih layak memohon faedah-faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP)?

Ya sekiranya pekerja diberhentikan kerja, pekerja-pekerja tersebut layak memohon faedah kehilangan pekerjaan termasuk program penempatan semula pekerjaan dan program latihan kemahiran di mana yuran latihan dan elaun menjalani latihan akan ditanggung sepenuhnya oleh PERKESO

Pekerja yang diberhentikan juga boleh mendaftar dengan EISJobs Portal untuk mencari pekerjaan.

12. Apakah dokumen sokongan yang perlu dikemukakan oleh majikan semasa membuat permohonan ERP?

  • Surat Notis CTG yang mengandungi senarai pekerja terlibat
  • Majikan perlu mengisi maklumat lengkap di Borang Permohonan ERP C-
    19 yang akan diedarkan bersama Pekeliling Majikan.

13. Mengapa ERP dibayar melalui majikan dan tidak terus kepada pekerja?

Pendekatan ini adalah untuk memastikan semua pekerja yang terlibat dapat dibantu secara menyeluruh dan tidak timbul pekerja yang terkecuali. Pendekatan ini juga dilihat sebagai kaedah yang paling berkesan dan tempoh proses pengesahan dan pembayaran dapat disingkatkan.

14. Mengapa program ERP tidak meliputi pekerja bergaji RM4,000 ke atas sedangkan pekerja bergaji lebih RM4,000 turut membayar caruman SIP?

Pelaksanaan program ERP adalah merupakan dasar Kerajaan bagi membantu golongan berpendapatan rendah (golongan B40 di mana pendapatan isi rumah kurang daripada RM3,900) yang dilaksanakan secara pentadbiran oleh PERKESO menggunakan dana Kerajaan.

15. Adakah program ERP akan menggalakkan lebih ramai majikan melaksanakan CTG kepada pekerja?

Program ERP bertujuan membantu majikan yang menghadapi masalah kewangan jangka pendek akibat kejutan ekonomi luar jangka dan di luar kawalan seseorang majikan tanpa perlu memberhentikan pekerja sedia ada.

Ini bagi membolehkan perusahaan berkenaan boleh beroperasi serta merta tanpa perlu membuat pengambilan serta melatih pekerja baharu sebaik sahaja situasi pulih.

Semoga perkongsian ini dapat memberi keterangan lebih lanjut mengenai Program bantuan ERP ini.Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Pegawai Perkhidmatan Pelanggan PERKESO di talian 1300-22-8000 atau emel kepada perkeso@perkeso.gov.my

Sumber

Join Channel Telegram Portal Pendidikan Terbesar Di Malaysia Percuma