Siapa Yang Akan Terkesan Dengan Kenaikan OPR? Ketahui 5 Fakta Mengenai Kenaikan OPR

Selepas pengumuman kenaikan kadar OPR pada Mei 2022, Bank Negara Malaysia (BNM) pada Julai 2022 telah mengumumkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dinaikkan lagi sebanyak 25 mata asas menjadikan kadarnya ketika ini adalah 2.25%. Kadar siling dan lantai OPR sekali gus meningkat kepada 2.50 dan 2.00 peratus.

Dengar ura-ura menyatakan BNM akan naikkan lagi kadar OPR, betul ke? Ramai yang dah mula risau bila BNM umum kenaikan kadar OPR, tetapi adalah anda betul-betul faham tentang kenaikan kadar OPR ini? Siapa yang terkesan?

Ikuti perkongsian di bawah untuk ketahui beberapa fakta mengenai OPR yang anda perlu tahu.

FAKTA TENTANG OPR

Berikut adalah beberapa fakta mengenai OPR yang anda perlu tahu:

Kadar OPR Perlu Kembali Kepada Tahap Normal

Mungkin tak ramai yang perasan bahawa kadar OPR sebelum pandemik sebenarnya adalah lebih tinggi iaitu sekitar 3.00 hingga 3.25 peratus berbanding sekarang, Apabila pandemik melanda dan negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) OPR diturunkan kepada kadar 1.75 demi membantu anda berbelanja atau memudahkan urusan permohonan pinjaman.

Namun, negara kembali mencatat pertumbuhan ekonomi yang sihat setelah kesemua sektor ekonomi dibuka semula dan kegiatan harian kembali normal. Oleh itu, kadar OPR juga perlu dikembalikan ke nilai asal agar inflasi dapat dikawal.

Apa Itu Inflasi?

Inflasi secara ringkasnya adalah kenaikan harga umum barangan atau perkhidmatan yang terjadi dalam tempoh masa tertentu. Kadar inflasi ditetapkan berdasarkan Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mana mempengaruhi perubahan harga item-item di dalam bakul tetap barangan dan perkhidmatan.

Item dalam bakul tetap barangan dan perkhidmatan IHP terdiri daripada 12 kumpulan utama seperti:

  • Makanan dan minuman bukan beralkohol
  • Minuman beralkohol dan tembakau
  • Pakaian dan kasut
  • Perumahan, air, elektrik, gas dan Bahan Api Lain
  • Hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah
  • Kesihatan
  • Pengangkutan
  • Komunikasi
  • Perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan
  • Pendidikan
  • Restoran dan Hotel
  • Pelbagai barang dan Perkhidmatan

Di Malaysia, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) adalah badan yang bertanggungjawab untuk mengeluarkan maklumat berkenaan inflasi semasa. Bagaimanapun, ini tidak bermakna mereka juga yang mengawal kadar inflasi, sebaliknya ia dipengaruhi faktor luar seperti peperangan serta kekurangan bekalan bahan mentah dunia yang mana diluar bidang kuasa kerajaan tempatan.

Dalam bahasa mudahnya, kalau 3 tahun lepas dengan RM50 anda boleh dapat 5 barang keperluan rumah tapi sekarang anda hanya boleh beli 2 barang sahaja, di situ sudah menunjukkan peningkatan inflasi yang terjadi dalam tempoh tersebut.

Kenaikan Kadar OPR Tidak Menjejaskan Pinjaman Dengan Kadar Faedah Tetap

Kenaikan OPR sama sekali tidak melibatkan pinjaman dengan kadar faedah tetap seperti pembiayaan sewa-beli (pinjaman kenderaan) atau sebahagian pinjaman peribadi.

Sebaliknya hanya melibatkan pinjaman pada kadar faedah berubah seperti pembiayaan kediaman serta sesetengah pinjaman perniagaan.

Kenaikan Mengikut Kadar Pinjaman

Buat masa sekarang dengan kenaikan sebanyak 0.25 pada kadar OPR tidaklah membawa kesan yang terlalu besar kepada jumlah pembayaran semula.

Ianya bergantung kepada kadar pinjaman asal, sekiranya jumlah pinjaman berjumlah RM400,000, kadar kenaikan untuk pembayaran bulanan yang dianggarkan adalah sekitar RM40 hingga RM50. Namun, lagi tinggi nilai pinjaman maka lebih banyaklah kadar kenaikan yang perlu anda bayar secara bulanan.

OPR Dijangka Naik Lagi

Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Prof. Madya Dr. Ahmed dalam satu temu ramah bersama Kosmo! meramalkan kadar OPR bakal dinaikkan lagi dalam tahun ini selari dengan perkembangan ekonomi semasa. Jadi, suka untuk kami ingatkan agar anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum membuat sebarang permohonan pinjaman.

KENAPA OPR DINAIKKAN?

Sebenarnya, kenaikan OPR ini sama sekali tidaklah untuk membebankan orang ramai sebaliknya ia bagi memastikan kadar inflasi tidak meningkat secara mendadak. Ia bagi mengelakkan terjadinya krisis ekonomi seperti di Turki yang mencatatkan kadar inflasi sehingga 70%, ia adalah rekod tertinggi dalam tempoh 24 tahun buat negara itu.

Hal ini adalah berikutan kejatuhan lira yang terjadi kerana tindakan mereka mengekalkan faedah pada kadar rendah untuk menjana pertumbuhan ekonomi. Perkara tersebut malangnya telah menyebabkan kadar inflasi semakin melonjak sehingga menjejaskan kuasa membeli orang ramai berikutan harga barangan serta perkhidmatan naik secara drastik.

Kebiasaannya, cara paling berkesan untuk menangani masalah inflasi adalah dengan menaikan kadar faedah. Namun, keengganan kerajaan turki untuk berbuat demikian telah menyebabkan ketidakstabilan mata wang mereka sehingga harga jualan di sana kerap berubah.

Malah, dijangkakan dengan kenaikan kadar OPR juga mampu meningkatkan kadar simpanan individu berikutan perbelanjaan dan permintaan dalam pasaran akan semakin berkurangan membolehkan orang ramai untuk menyimpan duit.

Sumber: Sirap Limau

Join Channel Telegram Portal Pendidikan Terbesar Di Malaysia Percuma