Cara Dapatkan ‘Cover Insurans’ Jika Cermin Kereta Pecah Akibat Aktiviti Mesin Rumput Tepi Jalan

Pasti anda selalu nampak kan pekerja bandaran mesin rumput di tepi-tepi jalan. Pernah terfikir tak macam mana jika tiba-tiba satu lantunan batu berlaku ketika anda lalu di sebatang jalan dan lantunan batu yang datang dari aktiviti mesin rumput telah menyebabkan cermin kereta anda pecah? Bagi yang tidak pernah alami, mungkin tidak pernah terfikir pun perkara ini akan terjadi.

Namun untuk persediaan dan pengetahuan semua, jangan panik sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini seperti ini kerana sebenarnya anda boleh dapatkan ‘cover insurans’ untuk masalah ini. Jika nak bayar sendiri cermin kereta yang pecah memang mahal!

Berikut adalah perkongsian mengenai proses untuk mendapatkan cover insurans sekiranya cermin kereta pecah akibat mesin rumput.

SETIAP KERJA MESIN RUMPUT ADA INSURANS

Tahukah anda setiap kerja pemotongan rumput di tepi jalan mempunyai insurans? Ini kerana pihak berkuasa tempatan MEWAJIBKAN mana-mana syarikat yang ingin memasuki tender mesin rumput mesti mempunyai insurans jika berlaku kemalangan yang tidak diingini.

Sebelum kerja pemotongan rumput boleh dijalankan, pihak syarikat hendaklah mengemukakan “Cover Note” insurans mereka kepada pihak berkuasa tempatan terlebih dahulu sebagai bukti bahawa syarikat tersebut telah dilindungi oleh pihak insurans jika berlaku kemalangan.

Cara Dapatkan 'Cover Insurans' Jika Cermin Kereta Pecah Akibat Aktiviti Mesin Rumput Tepi Jalan

PROSES TUNTUTAN COVER INSURANS

Langkah 1

Pertama sekali yang ramai gagal lakukan adalah, JANGAN PANIK. Bila dah berlaku situasi ini pastinya panik kan? Jangan risau, berhenti tepi jalan, ambil gambar cermin kereta yang pecah dan jumpa dengan pekerja mesin rumput tersebut. Dapatkan nama penuh dan syarikat kontraktor pekerja yang membuat kerja mesin rumput itu.

Langkah 2

Setelah anda mendapat nama syarikat tersebut, semak dengan pihak syarikat dimanakah bengkel kereta panel insurans syarikat terbabit? Maklumat ini adalah penting untuk buat laporan polis dan dapatkan cermin baru.

Langkah 3

Buat laporan polis dalam tempoh 24 jam dan setelah selesai, bawa laporan polis tersebut ke bengkel panel insurans syarikat tersebut untuk tukar cermin kereta yang pecah.

Laporan polis tersebut hendaklah menyatakan nama pemotong rumput (jika ada IC lebih baik), nama syarikat dan alamat, tarikh dan masa kejadian, serta nama jalan dan juga kawasan di mana kejadian berlaku.

Jadi selepas ini kalau berhadapan dengan kejadian seperti ini tenang dan jangan marah. Berhenti ke tepi, ambil gambar dan berjumpa dengan pekerja tersebut untuk berbincang.

Semoga bermanfaat!

Sumber

Pilihan Editor

Join Channel Telegram Portal Pendidikan Terbesar Di Malaysia Percuma