Jangan Senaraikan, Ini Cara Cerita Bidang Tugas Jawatan Dalam Temuduga Kerajaan
Selain perkenalkan diri, pasti setiap calon temuduga selalu dengar kan nasihat orang ramai untuk hafal bidang tugas jawatan yang bakal ditemuduga nanti? Ya! Memang benar setiap calon WAJIB tahu bidang tugas bagi jawatan tersebut kerana calon mestilah ambil tahu semua benda berkaitan jawatan.
Perkara utama yang sering ditanya dalam temuduga berkaitan jawatan adalah bidang tugas jawatan tersebut. Nak jawab soalan ini, jangan pula anda senaraikan satu-satu dalam bentuk “point” macam pembentangan! Pastikan jawapan anda menarik dan tidak membosankan. Yang paling penting, anda mestilah meyakinkan penemuduga.
Ikuti perkongsian di bawah untuk ketahui macam mana nak ceritakan bidang tugas jawatan dalam temuduga dengan menarik.
Isi Kandungan
TIPS CERITA BIDANG TUGAS JAWATAN DALAM TEMUDUGA
Berikut adalah tips menceritakan bidang tugas jawatan semasa temuduga:
- Jangan sebut satu demi satu seperti dalam bentuk point
- Sebut tugas utama bagi jawatan
- Huraikan sedikit tentang tugas tersebut
- Kaitkan tugas jawatan tersebut dengan bidang kerja anda sekarang
- Sekiranya anda tiada pengalaman kerja yang berkaitan dengan tugas jawatan tersebut, ceritakan dengan yakin bahawa anda seorang yang mudah untuk belajar kemahiran baharu
CONTOH JAWAPAN MENCERITAKAN BIDANG TUGAS
Salah satu skop kerja bagi jawatan ini turut melibatkan pengurusan kewangan serta perolehan bekalan dan pembangunan. Skop tugas bagi jawatan ini sedikit sebanyak berkaitan dengan kerja saya yang terdahulu. Walau bagaimanapun, saya tersedia untuk menerima tunjuk ajar dari pekerja lain untuk mempertingkatkan lagi kemahiran sedia ada saya di samping mendapat ilmu dan kemahiran yang baru.
Bekerja di dalam bidang pengurusan kewangan ini memerlukan nilai integriti yang tinggi. Saya yakin dengan ketelusan diri saya bekerja sebelum ini, saya dapat menggalas tanggungjawab sebagai seorang pegawai yang berintegriti.
Nilai integriti amat penting dalam sesebuah organisasi/ jabatan bagi mendapatkan kepercayaan dari rakyat untuk berurusan dengan organisasi/ jabatan tersebut. Oleh itu, nilai integriti yang diterapkan dalam diri saya sepanjang berkhidmat di dalam bidang pengurusan kewangan dapat membantu dalam menguruskan tugas-tugas yang akan diberikan kelak.
Saya sedia maklum bidang kerja bagi jawatan ini bergantung kepada dimana pegawai tersebut ditempatkan dan saya bersedia untuk ditempatkan dimana sahaja.
Saya yakin dengan kebolehan diri yang ada dalam diri saya, saya boleh melaksanakan tugas-tugas bagi jawatan ini dengan cemerlang berdasarkan peraturan yang berkuatkuasa.
Tak susah kan? Apa yang penting untuk jawab soalan ini adalah anda perlu sentiasa yakin bahawa anda mampu menggalas tanggungjawab jawatan tersebut dan ceritakan dengan jelas kenapa penemuduga bahawa anda mampu.
Semoga bermanfaat!