7 Cara Nak Cegah Kluster Pusat Asuhan dan Tadika, Ibu Bapa Perlu Ambil Perhatian Untuk Keselamatan Anak-anak
Mulai hari ini, boleh dikatakan hampir 95% pasaran ekonomi akan dibuka semula dan ramai dalam kalangan rakyat akan keluar bekerja dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pegerakan Bersyarat (PKPB). Sama seperti sektor ekonomi lain, taska atau tadika juga akan dibuka mulai hari ini.
Apa yang menjadi kebimbangan para ibu bapa yang terpaksa bekerja dan hantar anak-anak ke taska atau tadika adalah adakah prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pembukaan operasi Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) dan Taman Didikan Kanak-kanak (TADIKA) sepanjang PKPB ini mudah untuk dipatuhi?
Bagi mencegah perkara yang tidak diingini berlaku pada anak-anak anda, pihak taska atau tadika perlulah mengamalkan SOP ketat sebelum memulakan perniagaan.
Berikut adalah beberapa kaedah norma baru yang perlu dipraktikkan oleh ibu bapa dan pihak taska bagi menjamin keselamatan anak-anak di taska atau tadika.
Isi Kandungan
7 CARA CEGAH KLUSTER PUSAT ASUHAN DAN TADIKA
1. Asingkan Anak Frontliners
Pihak taska perlulah utamakan pengasingan anak frontliners kerana mereka perlu dilindungi dari kanak-kanak lain. Ibu bapa mereka merawat pesakit yang perlu dilindungi dari COVID-19 jadi tidak mustahil jika anak-anak ini berisiko dijangkiti.
2. Kumpulan Yang Sama Setiap Masa
Penting buat pihak taska mengamalkan social distancing dalam kalangan kanak-kanak di pusat penjagaan. Termasuklah mengasingkan mereka mengikut kumpulan. Kalau boleh, setiap hari adalah ahli kumpulan yang sama dan gunakan pagar untuk memisahkan dan mengurangkan interaksi bersama.
3. Batalkan Aktiviti Istimewa
Aktiviti istimewa di taska seperti sambutan hari jadi perlu dibatalkan. Sebarang aktiviti sedia ada yang dilakukan di taska perlulah disesuaikan dengan SOP yang dikeluarkan oleh JKM.
4. Tidur Sejarak Yang Mungkin
Jarakkan tempat tidur sebaiknya 6 kaki setiap kanak-kanak. Tetapkan kedudukan kaki di hujung kepala dan bukan sebelah-menyebelah.
5. Hantar Dan Pergi
Ibu bapa pula perlu hantar dan pergi menghantar anak tanpa berlengah di taska. Hadkan perhubungan dengan pengasuh dan ibu bapa lain semasa menghantar anak. Lakukan dengan tertib.
6. Rotasi Aktiviti
Pihak taska mestilah buat jadual aktiviti kanak-kanak dengan teratur. Lakukan aktiviti berasingan mengikut kumpulan. Setiap aktiviti adalah ahli kumpulan yang sama. Elakkan kanak-kanak membuat satu aktiviti yang sama berama-ramai.
7. Saring Dan Hand Sanitizer
Penting juga buat ibu bapa mengenalpasti tahap kesihatan anak-anak sebelum dihantar ke pusat penjagaan. Jika anak bergejala batuk, selsema atau demam jangan hantar ke pusat penjagaan. Latih anak untuk sentiasa menjaga kebersihan dengan membasuh tangan atau gunakan hand sanitizer.
Hampir 2 bulan kita berada di bawah Perintah Kawalan Pegerakan yang banyak mengajar kita bahawa penjarakan sosial, kebersihan tangan dan amalan Stay At Home adalah sangat penting. Walaupun kita dan anak-anak perlu berada di luar dari rumah sekarang, pastikan amalan yang diamalkan sepanjang PKP tetap dipraktikkan di mana jua.
Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk pihak taska dan ibu bapa mengambil langkah berjaga-jaga dalam menjamin kesihatan anak-anak ketika di pusat penjagaan.