Dah Dapat Dividen, Sila bayar Zakat! Ini Cara Kira Zakat ASB

Pasti ramai yang tidak tahu tentang zakat ke atas dividen ASB kan? Terkejut bila dengar dividen yang diterima kena bayar zakat? Bagi anda yang cukup haul dan mencapai nisab yang ditetapkan maka anda wajib untuk zakatkan sejumlah simpanan anda.

Ada juga yang keliru tentang zakat ke atas pelaburan ASB. Adakah zakat dikenakan ke atas pelaburan pokok atau hasil dividen sahaja? Ataupun kedua-duanya sekali?

Ikuti perkongsian di bawah untuk ketahui lebih lanjut mengenai zakat ke atas pelaburan ASB dan cara membuat pengiraan zakat yang perlu di bayar ke atas dividen yang diterima.

ASB HALAL ATAU HARAM?

Soalan ini sering timbul setiap kali kita sebut tentang pelaburan di ASB. Soalan ini sepatutnya tidak disebutkan lagi. Ketika pelaburan dibuat, secara logiknya anda sendiri telah bersetuju dengan pandangan dan fatwa yang mengharuskan pelaburan ASB. Jika tidak, mana mungkin pelaburan itu dipilih dan diteruskan.

Baca juga: Panduan Pendaftaran, Pengeluaran, Semakan Baki & Dividen Secara Online

Bagi yang masih mempunyai keraguan dan ingin kepastian tambahan mengenai hal ini, anda boleh rujuk di gambar ini.

Dah Dapat Dividen, Sila bayar Zakat! Ini Cara Kira Zakat ASB

KADAR ZAKAT KE ATAS PELABURAN ASB

Pembayaran zakat adalah wajib ke atas pelaburan di ASB. Ini adalah bersesuaian dengan kaedah fiqh dalam ibadah zakat yang berbunyi كل مال نام فهو وعاء للزكاة yang bermaksud setiap harta yang berkembang adalah sumber untuk zakat.

Tujuan pelaburan dibuat di ASB:

  • Mengembangkan harta
  • Mendapat pulangan berupa keuntungan yang diperolehi menerusi dividen, bonus dan pendapatan ASB setiap tahun.

Oleh kerana nilai unit pelaburan di ASB adalah Ringgit Malaysia, maka kadar zakatnya adalah 2.5%.

Ini berdasarkan hadith Nabi S.A.W:

“Apabila kamu mempunyai 200 dirham dan telah cukup haul (genap setahun) diwajibkan zakatnya lima dirham, dan tidak diwajibkan mengeluarkan zakat (emas) kecuali kamu mempunyai 20 dinar (salah satu mata wang zaman dahulu yang digunakan di negara Arab).

Apabila kamu mempunyai 20 dinar dan telah cukup haulnya diwajibkan zakatnya setengah dinar. Demikian juga kadarnya jika nilainya bertambah dan tidak diwajibkan zakat bagi sesuatu harta kecuali genap setahun.”

(Riwayat Abu Dawud dan al-Baihaqi)

Untuk makluman, nilai setengah dinar (0.5 dinar) itu adalah menyamai 2.5 peratus (atau 1/40 bahagian) ke atas keseluruhan 20 dinar atau 200 dirham berkenaan (2.5% X 200 dirham > 5 dirham).

CARA KIRA ZAKAT ASB

Dah Dapat Dividen, Sila bayar Zakat! Ini Cara Kira Zakat ASB

Pengiraan zakat ke atas pelaburan ASB boleh dikategorikan berdasarkan beberapa kaedah dan situasi seperti berikut:

*Catatan: Nisab zakat bagi tahun 2022 di Wilayah Persekutuan adalah RM 13,968.

(Bermakna simpanan yang melebihi RM13,968 dan cukup setahun wajib dizakatkan. Biasanya akan tengok pada jumlah simpanan terendah dalam penyata akaun.)

1 Pelaburan Dibuat Menggunakan Wang Atau Modal Sendiri

Bagi situasi ini pengiraan zakat adalah berkadar langsung dengan jumlah pelaburan dan keuntungan (dividen, bonus dan pendapatan ASB) yang diperolehi.

Formulanya adalah seperti berikut:
[Baki Akhir Tahun Modal Pelaburan + Dividen/ Pendapatan ASB] x 2.5% (Kadar Zakat)

Contoh (i):
RM 200,000 (Baki Akhir Tahun Modal Pelaburan) + RM 10,200 (Dividen / Pendapatan ASB 2022 iaitu 5.10%)
= RM 210,200 x 2.5%
= RM 5,255
Justeru, zakat yang wajib ditunaikan adalah sebanyak RM 5,575

Contoh (ii):
RM 15,000 (Baki Akhir Tahun Modal Pelaburan) + RM 765 (Dividen/Pendapatan ASB 2019 iaitu 5.10%)
= RM 15,765 x 2.5%
= RM 394.12
Justeru, zakat yang wajib ditunaikan adalah sebanyak RM 394.12

2 Pelaburan Dibuat Dengan Fasiliti Pembiayaan ASB Dengan Pihak Bank

Bagi situasi ini, pengiraan zakat hanya akan dikenakan ke atas dividen atau keuntungan yang diperolehi sahaja. Adapun bagi modal pelaburan, tidak dikenakan zakat ke atasnya kecuali setelah berlakunya penebusan sijil pelaburan ataupun setelah selesai tempoh bayaran balik pembiayaan.

Formula kiraan adalah seperti berikut:
Dividen / Pendapatan ASB x 2.5%

Contoh kaedah kiraan seterusnya cuba meraikan beberapa bentuk kaedah pelaburan yang lazimnya diamalkan oleh para pelabur ASB dengan menggunakan fasiliti pembiayaan ASB.

Kes 1 (Dikenakan zakat): Dividen/Pendapatan ASB yang diperolehi TIDAK DIGUNAKAN untuk membuat pembayaran semula pembiayaan.

Contoh:
Modal Pelaburan Maksimum RM 200,000 [dalam bentuk sijil pelaburan] Dividen/ Pendapatan ASB 2022: 5.10% dari RM 200,000 = RM 10,200
= RM 10,200 x 2.5%
= RM 255

Justeru, zakat yang dikenakan adalah RM 255

Kes 2 (Tidak dikenakan zakat): Dividen/Pendapatan ASB yang diperolehi DIGUNAKAN bagi membuat pembayaran semula pembiayaan.

Dalam kes ini, zakat hanya akan dikenakan ke atas baki atau lebihan dividen/pendapatan ASB yang masih ada selepas ditolak jumlah pembayaran semula pembiayaan.

Contoh (i):
Modal Pelaburan Maksimum RM 200,000 [dalam bentuk sijil pelaburan] Dividen/ Pendapatan ASB 2022: 5.10% dari RM 200,000 = RM 10,200

Jumlah pembayaran semula pembiayaan selama setahun (dikira berdasarkan tempoh ansuran bulanan pembiayaan pelaburan ASB selama maksimum 30 tahun)
= RM 1,099 (sebulan) x 12 (bulan) = RM 13,188
= RM 10,200 (dividen/pendapatan ASB) – RM 13,188 (bayaran semula pembiayaan)
= RM (2,988)

Oleh kerana, bayaran semula pembiayaan melebihi jumlah dividen yang diterima, maka TIDAK ADA ZAKAT dikenakan. Juga tidak dikenakan zakat jika jumlah dividen menyamai jumlah pembayaran semula pembiayaan.

3 Perolehan Selepas Penyerahan Semula Sijil Pembiayaan Pelaburan ASB

Sebahagian pelabur menggunakan kaedah membuat pembiayaan pelaburan ASB dan dalam tempoh tertentu membuat penyerahan semula sijil (surrender) dan menyelesaikan bayaran baki pembiayaan untuk mendapatkan keuntungan dan pulangan.

Kes 1: Penyerahan semula sijil pelaburan lebih awal sebelum tamat tempoh pembiayaan.

Contoh (i) – Penyerahan sijil pelaburan pada tahun ke-5 dalam tempoh pembiayaan selama 25 tahun:

[Pulangan tunai selepas penyerahan sijil pelaburan + dividen tahun semasa ASB] x 2.5%
[RM 22,002.61 (lebihan tunai penyerahan sijil pelaburan bernilai RM 200,000) + RM 11,000 (dividen tahun semasa ASB)] = RM 33,002.61
= RM 33,002.61 x 2.5%
= RM 825.06
Zakat dikenakan adalah RM 825.06

Contoh (ii) – Penyerahan sijil pelaburan pada tahun akhir pembiayaan / selepas tamat tempoh pembiayaan 25 tahun.

[RM 200,000 (nilai penyerahan sijil pada tahun akhir pembiayaan/selepas tamat tempoh pembiayaan) + RM 11,000 (nilai dividen semasa ASB)] = RM 211,000
= RM 211,000 x 2.5%
= RM 5,275

Zakat dikenakan adalah sebanyak RM 5,275

Semoga perkongsian ini dapat memberikan manfaat dan kefahaman yang jelas kepada para pelabur dan muzakki. Semoga segala amalan dan kebaikan yang dilakukan diterima Allah Ta’ala dan dapat dijadikan sebagai pemberat mizan di Hari Pembalasan. Sama-sama kita jalankan tanggungjawab umat Islam dengan membayar zakat.

Anda boleh juga kira dan bayar zakat secara online di laman web PPZ MAIWP ini.

Sumber

Pilihan Editor

Join Channel Telegram Portal Pendidikan Terbesar Di Malaysia Percuma