Elak Kesesakan, Ini Cadangan Waktu Perjalanan Sempena Pilihanraya Umum Ke-15

Bakal pulang ke kampung halaman untuk mengundi? PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) buat pengguna Lebuhraya Utara-Selatan, bagi tempoh dari 17 hingga 21 November 2022.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, TTA itu bertujuan mengurangkan kesesakan trafik yang dijangka berlaku akibat peningkatan sehingga 1.9 juta kenderaan di lebuh raya itu, sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November 2022 nanti.

Ikuti perkongsian di bawah untuk ketahui waktu yang dicadangkan untuk orang ramai pulang mengundi bagi mengelakkan kesesakan trafik di lebuh raya.

TARIKH CUTI SEMPENA PRU-15

Bagi memudahkan Keluar Malaysia menunaikan tanggungjawab masing-masing untuk mengundi pada PRU-15, Perdana Menteri telah mengumumkan hari kelepasan am pada:

  • 18 & 19 November 2022 (Jumaat dan Sabtu)

Pengumuman hari kelepasan am dua hari itu dibuat berikutan ada kemungkinan syarikat swasta beroperasi pada Sabtu.

TAWARAN TOL PERCUMA

Selain daripada pengumuman pelepasan am tersebut, Perdana Menteri juga telah mengumumkan tol percuma yang akan bermula pada:

  • dari 12.01 pagi 18 November (Jumaat) hingga 11.59 malam Sabtu, 19 November 2022

Pemberian tol percuma ini melibatkan semua kenderaan jenis persendirian Kelas 1 saja yang akan dianggarkan sekitar 90% daripada jumlah keseluruhan kenderaan di lebuh raya.

Tawaran itu melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM34.5 juta yang akan ditanggung sepenuhnya oleh 30 syarikat konsesi lebuh raya menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR).

JADUAL WAKTU CADANGAN PERJALANAN PULANG MENGUNDI

Pengguna lebuh raya dari Lembah Klang yang menuju Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor disarankan supaya memasuki lebuh raya bermula 16 hingga 18 Nov sebelum 10 pagi manakala pengguna yang menuju ke lain-lain negeri dinasihatkan masuk ke lebuh raya antara 1 tengah hari hingga 4 petang.

Bagi perjalanan pulang semula ke Kuala Lumpur bermula 20 hingga 21 Nov pula, pengguna dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara), Johor dan lain-lain negeri dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum 10 pagi.

Orang ramai khususnya yang ingin pulang ke kampung halaman atau bergerak ke lokasi mengundi masing-masing dinasihatkan membuat persiapan rapi dan merancang perjalanan dengan lebih awal untuk pulang dan kembali semula ke ibu kota semasa tempoh ini.

Pengguna juga perlu menjangka menghadapi tempoh perjalanan yang lebih panjang di lebuh raya berikutan peningkatan kenderaan berbanding hari-hari biasa. Namun begitu, PLUS turut membuat persediaan dari sudut operasi lebuh raya bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan yang selesa sepanjang tempoh tersebut.

Sumber

Pilihan Editor

Join Channel Telegram Portal Pendidikan Terbesar Di Malaysia Percuma