Bantuan Kanak-Kanak (BKK) 2025: Syarat Kelayakan, Kadar & Cara Mohon

Ramai keluarga di Malaysia masih berdepan dengan cabaran kewangan untuk membesarkan anak-anak, terutama bagi mereka yang berpendapatan rendah. Bagi memastikan kebajikan kanak-kanak lebih terjamin, kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menawarkan skim Bantuan Kanak-Kanak (BKK). Bantuan ini dikemaskini bermula 1 Ogos 2025 dan mensasarkan keluarga miskin serta golongan yang benar-benar memerlukan.

Bantuan Kanak-Kanak (BKK) diwujudkan bagi meringankan beban penjaga dan ibu bapa dalam menyediakan keperluan asas anak-anak. Ia merupakan salah satu inisiatif penting kerajaan bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup, khususnya dalam keluarga besar yang mempunyai ramai tanggungan.

Selain itu, bantuan ini juga memastikan kanak-kanak dapat membesar dalam keadaan lebih baik tanpa diabaikan aspek kebajikan dan pendidikan mereka. Melalui skim ini, ibu bapa dan penjaga boleh memberi tumpuan kepada kesejahteraan anak-anak tanpa perlu bimbang sepenuhnya mengenai kos sara hidup yang semakin meningkat.

Dalam artikel ini, kami akan kongsikan secara lengkap mengenai syarat kelayakan, kadar bantuan, dokumen diperlukan serta cara memohon Bantuan Kanak-Kanak (BKK) 2025 untuk memudahkan anda membuat persediaan.

Syarat Kelayakan Bantuan Kanak-Kanak (BKK) 2025

Antara syarat yang ditetapkan bagi memohon bantuan ini ialah:

  • Pemohon mestilah warganegara Malaysia dan bermastautin di Malaysia.
  • Penjaga atau keluarga yang memberi jagaan kepada kanak-kanak berusia bawah 18 tahun.
  • Pendapatan isi rumah tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) sama ada Purata Isi Rumah Miskin Tegar Semasa atau PGK Purata Per Kapita Miskin Tegar Semasa.

Kadar Bantuan BKK 2025

Bantuan diberikan mengikut kategori umur kanak-kanak seperti berikut:

  • RM200 sebulan seorang (umur 7 hingga 18 tahun).
  • RM250 sebulan seorang (umur 6 tahun ke bawah).
  • Had maksimum bantuan adalah RM1000 sebulan bagi setiap isi rumah.

Kadar ini membantu memastikan keluarga berpendapatan rendah mendapat sokongan kewangan secukupnya untuk menampung perbelanjaan anak-anak.

Dokumen Diperlukan Untuk Permohonan

Pemohon perlu menyediakan dokumen berikut semasa membuat permohonan:

  1. Borang Permohonan Bantuan JKM (JKM 18).
  2. Salinan MyKad pemohon.
  3. Salinan MyKad/MyKid ahli keluarga yang tinggal bersama.
  4. Penyata pendapatan atau surat pengesahan daripada majikan. Bagi yang bekerja sendiri, boleh dapatkan pengesahan daripada Penghulu/Pegawai Daerah/Pemimpin Masyarakat.
  5. Salinan bil utiliti (air/elektrik/telefon/Astro) sebagai bukti alamat.
  6. Salinan penyata akaun bank yang aktif.

Artikel Berkaitan: Penghargaan SARA RM100 One-off 2025: Semakan, Tarikh, Kedai & Barang Yang Boleh Dibeli

Cara Mohon Bantuan Kanak-Kanak (BKK) 2025

Permohonan boleh dibuat dengan menghantar borang lengkap bersama dokumen sokongan ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah/Negeri yang berdekatan. Pemohon juga boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui portal rasmi JKM di: www.jkm.gov.my.

Penutup

Bantuan Kanak-Kanak (BKK) 2025 adalah usaha kerajaan bagi membantu meringankan beban keluarga miskin dan memastikan kebajikan kanak-kanak terus terjaga. Dengan kadar bantuan sehingga RM1000 sebulan seisi rumah, ia menjadi sokongan penting buat keluarga berpendapatan rendah. Justeru, ibu bapa dan penjaga yang layak digalakkan membuat permohonan agar anak-anak mendapat peluang membesar dengan lebih baik.

Join Channel Telegram Portal Pendidikan Terbesar Di Malaysia Percuma