Senarai Bantuan Disediakan KWSP Yang Anda Perlu Tahu Sepanjang Tempoh PKP
Untuk makluman anda, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyediakan pelbagai bantuan kecemasan bagi membantu meringankan beban kewangan dihadapi ahli dan majikan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Usaha-usaha ini setakat ini menampakkan bantuan yang disediakan ini sangat membantu Ahli KWSP dari segi kewangan dan kelangsungan hidup.
Berikut adalah senarai bantuan yang disediakan KWSP yang anda perlu tahu sepanjang PKP.
Isi Kandungan
Pengeluaran i-Lestari
Ketua Pegawai KWSP, Tunku Alizakri Alias, berkata bantuan itu termasuk kemudahan Pengeluaran i-Lestari yang membenarkan ahli membuat pengeluaran bulanan antara RM50 hingga RM500, bermula April lalu hingga Mac tahun depan, tertakluk kepada baki dalam Akaun 2 mereka.
Setakat 30 Jun lalu, KWSP meluluskan 4.35 juta permohonan dengan jumlah pengeluaran kumulatif antara April hingga Jun lalu bernilai RM3.79 bilion.
Sekiranya anda masih belum membuat pengeluaran i-Lestari dan berhasrat untuk buat permohonan baru atau ingin menamatkan pengeluaran i-Lestari, anda boleh rujuk DI SINI untuk ketahui langkah-langkah mudah.
Program Bantuan Majikan COVID-19 (e-CAP)
Selain itu, KWSP menerima 37,888 permohonan hingga 3 Julai lalu, untuk Program Bantuan Majikan COVID-19 (e-CAP) yang membolehkan majikan memohon menangguhkan dan menstruktur semula caruman syer majikan.
Sebanyak 10,528 permohonan e-CAP berjumlah RM70.4 juta diluluskan dan kemudahan itu berikutan pelanjutan tarikh akhir untuk majikan membayar caruman wajib bagi Mac 2020, seterusnya untuk Mei hingga Disember 2020.
Pengurangan Caj Jualan Institusi Pengurusan Dana (IPD)
KWSP juga mengurangkan caj jualan dikenakan Institusi Pengurusan Dana (IPD) bagi tempoh 12 bulan hingga 30 April 2021. Bagi pelaburan dilaksanakan melalui ejen, kadar caj jualan dikurangkan daripada kadar maksimum tiga peratus kepada kadar maksimum 1.5 peratus, manakala pelaburan dilaksanakan melalui i-Invest dalam i-Akaun (Ahli) tidak akan dikenakan sebarang caj jualan.
Jika dilihat kepada situasi luar jangkaan ini, KWSP kelihatan berjaya mencatatkan prestasi yang kukuh di samping mengimbangkan keperluan aliran tunai segera dengan kepentingan jangka panjang untuk memastikan kecukupan simpanan persaraan ahli KWSP serta pulangan pelaburan yang mampan.
Baca juga: Cara Buat Pengeluaran Akaun 2 KWSP Secara Online Melalui e-Pengeluaran