Ayat Klise Ini Memang Tak Sesuai Ada Dalam Resume. Jangan Letak! Nanti HR Reject

Resume adalah senjata utama anda untuk menembusi temuduga pertama – iaitu pandangan awal majikan terhadap siapa diri anda. Malangnya, ramai calon masih meletakkan ayat-ayat klise yang kelihatan profesional, tetapi sebenarnya membuat resume anda nampak lemah dan tidak asli.
Kita faham, niatnya adalah untuk menampakkan kesungguhan dan nilai tambah diri. Tetapi ayat yang sudah terlalu biasa dan digunakan semua orang, akhirnya menjadikan resume anda tidak menonjol langsung.
HR hanya ambil masa 5 ke 7 saat untuk ‘scan’ resume – jadi anda kena pastikan tiada ayat yang menjatuhkan peluang anda.
Dalam artikel ini, kami senaraikan beberapa ayat klise yang anda patut elakkan dalam resume, serta alternatif yang lebih baik untuk anda gunakan. Pastikan anda semak semula resume anda hari ini!
5 Ayat Klise Yang Patut Dibuang Dari Resume Anda
1. “Saya seorang yang berdedikasi dan boleh bekerja di bawah tekanan.”
- Kenapa tak sesuai: Semua orang tulis benda yang sama. Ayat ini terlalu umum dan tidak membuktikan apa-apa.
- Alternatif: “Pernah mengetuai projek pelaksanaan sistem HR dalam tempoh masa ketat 2 minggu dan berjaya siap sebelum deadline.”
2. “Saya seorang yang cepat belajar dan mudah menyesuaikan diri.”
- Kenapa tak sesuai: Terlalu biasa, tak beri contoh spesifik.
- Alternatif: “Dalam tempoh 2 bulan latihan industri, saya telah menguasai perisian SAP dan membantu menyediakan laporan inventori bulanan.”
3. “Saya boleh bekerja secara individu atau berkumpulan.”
- Kenapa tak sesuai: Hampir semua calon guna ayat ini, tiada impak.
- Alternatif: “Semasa projek akhir pengajian, saya bekerjasama dengan 4 ahli kumpulan dan berjaya menyiapkan sistem e-Jualan yang digunakan oleh 3 vendor tempatan.”
4. “Saya seorang yang jujur dan amanah.”
- Kenapa tak sesuai: Sifat baik ini tidak salah, tapi perlu dibuktikan.
- Alternatif: “Dipercayai untuk mengendalikan rekod kewangan bulanan syarikat semasa praktikal selama 6 bulan tanpa sebarang teguran.”
5. “Saya berminat dengan jawatan ini dan yakin saya boleh menyumbang.”
- Kenapa tak sesuai: Ayat ni terlalu ‘generik’, tak berikan impak.
- Alternatif: “Berdasarkan pengalaman saya dalam bidang pengurusan dokumen dan pengendalian sistem e-Office, saya yakin dapat menyumbang kepada kecekapan operasi jabatan.”
Artikel Berkaitan: Perlu Ke Letak Alamat Rumah Dalam Resume? Ini Sebabnya Yang Ramai Tak Tahu!
Tips Supaya Resume Anda Lebih Menonjol
Elak bahasa berbunga. Gunakan bahasa profesional tetapi mudah difahami.
Tunjukkan, jangan hanya cakap. Gantikan ayat klise dengan data, contoh sebenar atau pencapaian.
Fokus kepada hasil kerja. Gunakan kata kerja aktif seperti “meningkatkan,” “mengurus,” “menyelesaikan,”.
Sesuaikan dengan jawatan dipohon. Jangan salin dan tampal dari resume orang lain. Pastikan relevan dengan kerjaya yang anda mohon.
Baca Juga: Resume Terlalu Panjang? Potong 3 Perkara Ini, Confirm Majikan Terus Tertarik!
Kesimpulan
Resume yang bagus bukanlah resume yang ‘paling panjang’ atau ‘paling canggih reka bentuknya’. Resume yang padat, jelas, dan berimpak lebih tinggi peluang untuk menarik perhatian majikan. Jangan biarkan ayat-ayat klise merosakkan peluang anda. Semak semula resume anda hari ini dan buang semua ayat yang tiada nilai tambah!