Talian 997 – Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) Ditubuhkan Untuk Aduan Kes “Scammer”
Seperti mana yang telah diumumkan oleh Jabatan Perdana Menteri pada 14 Oktober 2022, Pusat Respons Scam Kebangsaan (National Scam Response Centre, NSRC) telah ditubuhkan sebagai pusat operasi untuk menyelaraskan tindak balas pantas terhadap penipuan kewangan dalam talian.
Tindak balas ini termasuk pengesanan dana yang dicuri secara lebih cepat dan pengambilan tindakan penguatkuasaan terhadap penjenayah. Selepas ini jika anda dapati anda telah ditipu melibatkan kewangan dalam talian anda boleh terus hubungi talian NSRC untuk tindakan selanjutnya!
Ikuti perkongsian di bawah untuk maklumat lanjut talian Pusat Respons Scam Kebangsaan.
Isi Kandungan
PUSAT RESPONS SCAM KEBANGSAAN (NSRC)
NSRC merupakan usaha sama antara Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (National Anti-Financial Crime Centre, NFCC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta institusi kewangan dan industri telekomunikasi.
Tumpuan NSRC adalah pada penipuan kewangan dalam talian –
- iaitu kes di mana mangsa menyedari bahawa wang dalam akaun bank mereka telah dipindahkan tanpa pengetahuan serta kes di mana mangsa telah diperdaya untuk memindahkan wang mereka melalui perkhidmatan kewangan dalam talian.
Di antara kaedah penipuan ini termasuk:
- memancing data (phishing),
- Macau scam,
- serangan perisian hasad (malware),
- penipuan penghantaran barangan atau bungkusan (parcel scam) dan
- love scam.
Mangsa penipuan digalakkan menghubungi talian khusus (hotline) bank-bank mereka atau NSRC melalui talian:
- 997
KAEDAH NSRC MEMBANTU MANGSA PENIPUAN
Selepas mendapat laporan, NSRC akan menyelaraskan tindak balas oleh agensi penguatkuasaan undang-undang, institusi kewangan dan syarikat perkhidmatan telekomunikasi bagi:
- mencegah mangsa daripada menghadapi kerugian kewangan selanjutnya;
- berusaha mengesan dana yang telah dicuri;
- menjalankan siasatan terhadap jenayah penipuan tersebut; dan
- mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penjenayah.
TINDAKAN MANGSA JIKA DIDAPATI TELAH DITIPU
Jika anda menjadi mangsa penipuan, sila ambil langkah-langkah yang berikut untuk melindungi diri anda dan mangsa lain.
Langkah 1: Hubungi Bank Atau Talian 997
Sekiranya anda menyedari berlakunya transaksi yang tidak dibenarkan atau tidak disedari dalam akaun bank anda, segera hubungi:
- hotline bank anda yang beroperasi 24 jam setiap hari (hotline bank 24/7) atau
- hubungi talian hotline NSRC iaitu 997 (talian ini boleh dihubungi antara 8.00 pagi hingga 8.00 malam setiap hari, termasuk cuti umum).
Anda perlu menghubungi bank anda atau hotline NSRC 997 dengan segera sebaik sahaja mendapati bahawa anda telah ditipu. Tindakan segera ini boleh membantu anda mengurangkan kerugian yang mungkin dialami, walaupun tiada jaminan bahawa anda akan mendapat semula wang anda.
Langkah 2: Buat Laporan Polis
Selain memaklumkan kejadian ini kepada bank anda atau hotline 997 NSRC, anda perlu membuat laporan polis di balai polis berdekatan secepat mungkin. Tindakan ini penting untuk membolehkan pihak polis memulakan siasatan rasmi. Bagi memastikan tindakan segera diambil, anda dinasihatkan supaya terlebih dahulu menghubungi bank anda atau hotline NSRC sebelum membuat laporan polis.
Langkah 3: Walaupun Sudah Terlambat, Hubungi Bank Anda
Meskipun insiden penipuan berlaku sudah agak lama (contohnya lebih daripada 24 jam), anda masih perlu melaporkan penipuan itu kepada bank anda. HotlineNSRC iaitu 997 ialah nombor tindak balas kecemasan. Oleh itu, NSRC mungkin tidak dapat memberikan tindak balas yang pantas dalam situasi sebegini kerana peluang untuk mendapatkan balik wang anda adalah tipis.
Walau bagaimanapun, tindakan anda melaporkan penipuan ini kepada bank anda merupakan tindakan penting bagi membantu pihak berkuasa mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap penjenayah.
MAKLUMAT DIPERLUKAN UNTUK LAPORAN PENIPUAN
Apabila membuat laporan (kepada bank anda, hotline 997 NSRC atau di balai polis), anda perlu memastikan anda mempunyai maklumat yang berikut:
- Penerangan ringkas tentang insiden penipuan (contohnya kronologi peristiwa)
- Butiran peribadi anda (nama, nombor telefon, nombor kad pengenalan,
nombor akaun bank) - Butiran penjenayah (nama, nombor telefon)
- Butiran transaksi (nombor akaun-akaun bank yang terlibat, jumlah serta masa transaksi dibuat)
Anda juga perlu bersedia untuk memberikan sebarang bukti kepada PDRM, contohnya tangkap skrin (screenshots) perbualan dengan penjenayah.
penipuan kepada pihak tersebut. Pihak tersebut TIDAK AKAN SAMA SEKALI meminta maklumat perbankan peribadi anda, contohnya nama pengguna (username), kata laluan, nombor PIN, TAC atau OTP.